CERPEN 1 : TEKAD

 CERPEN : TEKAD 




Maizura tekad. Kali ini dia tidak akan membiarkan dirinya terus diperbodohkan dan dipergunakan Ruzain. Dia membaca sekali lagi kiriman whatsapp daripada Ruzain,


" Zain outstation ke Pahang minggu ni..


" Zain mungkin busy sikit tak dapat nak contact Mai..


" Mai jaga diri ye sayang..jangan risaukan Zain..


Maizura tersenyum sinis. Jemarinya laju menaip membalas,


" Ok dear..


" Mai faham..


" Zain pun jaga diri. I love you. Balik nanti kita jumpa ye..


Bluetick. Sudah Maizura jangkakan. Tidak akan ada balasan 'I Love You Too' seperti dulu, di waktu awal percintaan mereka.


Kadangkala, Maizura cuba menepis bisikan hatinya yang sering berfikiran buruk mengenai Ruzain, jejaka yang dikenalinya 2 tahun lalu. Hubungan percintaannya dengan lelaki itu mula berputik setahun setengah yang lalu membawa ke alam pertunangan. Seperti pasangan lain, mereka merancang untuk berumah tangga, namun Ruzain meminta diberikan masa untuknya menstabilkan kewangan dan kerjaya nya yang sering tidak menentu. 


" Tapi takkanla bila diajak ke kursus kahwin pun ada je alasannya..ermm entah lah... " Maizura mengeluh sendirian.


                       πŸŒ·πŸŒ·πŸŒ·πŸŒ·πŸŒ·πŸŒ·πŸŒ·


" Aku akan buktikan hari ini, aku bukan lah perempuan yang lemah, penakut, perigi mencari timba dan entah apa lagi macam yang diorang cakap tu. " Penuh perasaan Maizura menuturkan kata-kata sambil menoleh ke arah rakan baik di sebelahnya, Adila. 


Maizura meminta Adila menemaninya untuk ke rumah milik keluarga Ruzain hari ini. Kebetulan ada majlis ringkas di rumah itu pada malam nanti. Maizura sangat mengenali dengan ahli keluarga Ruzain. Sejak awal perkenalan lagi, Ruzain membawanya berkenalan dengan keluarganya. Dari ibu bapanya, adik beradik, sepupu, makcik pakcik, atuk dan nenek semua sudah bersua dengan dirinya. Begitu juga di sebelah keluarga Maizura.  


Maizura tahu, apa yang bakal dilakukannya hari ini mungkin tidak betul dan pasti dirinya makin dipandang serong keluarga Ruzain yang sejak akhir-akhir ini juga agak dingin terhadap dirinya. Maizura agak yakin sebabnya, dan dia mahu menyelesaikan perkara itu hari ini juga walaupun dia tahu dia bakal kehilangan lelaki yang dicintai selamanya. 


" Cintakah aku kepada Ruzain? " Atau aku menerimanya gara-gara keinginan untuk berumahtangga seperti rakan-rakan yang lain? " bisik Maizura dalam hatinya. 


" Mai, kau tak nampak macam Maizura yang aku kenal hari ni. Aku yakin kau boleh selesaikan hal kau dengan Zain. Aku sokong apa juga keputusan kau. " Kata-kata Adila di sebelah menghentikan lamunan Maizura. 


Maizura turun dari kereta Perodua Axia miliknya bersama telefon bimbit di tangan. Setelah menilik seketika tudungnya di cermin kereta, langkahnya diatur bersama Adila menuju ke halaman rumah keluarga Ruzain yang dipenuhi ramai orang, mungkin saudara-mara atau jiran sekampung yang membantu memasak untuk majlis malam nanti. 



" Assalamualaikum..


Maizura memberi salam sambil tersenyum mencuit Azmira, kakak Ruzain yang yang sedang berada di bawah sebatang pokok di halaman rumah bersama suami dan anaknya. Lantas tangannya dihulurkan untuk menyalami wanita itu. 


" Eh Mai ada kat sini..datang dengan siapa?" jawab Azmira teragak-agak. 

Dapat dilihat raut wajah Azmira kelihatan kaget, begitu juga dengan suaminya.


" Dengan ni haa..Mai ajak Dila sekali..tak manis pulak rasanya kalau Mai datang seorang diri ke rumah tunang Mai, walaupun lain-lain kereta kan.. tak gitu Kak Mira? Ermm.. Mai dah tak boleh datang ke majlis keluarga Zain ke?" Maizura memberikan senyuman manis kepada Azmira. 


Raut wajah Azmira semakin kelat. Dia berpaling meminta suaminya masuk ke dalam rumah membawa anak mereka. Azmira lantas menarik tangan Maizura ke halaman di tepi rumah keluarganya. 


" Mai, Kak Mira harap sangat Mai tak buat kecoh kat sini. Tolong hormat majlis keluarga akak." Pinta Azmira dengan wajah serius. 


" Kenapa Kak Mira cakap macam ni? Sepanjang Kak Mira kenal Mai, pernah ke Mai buat kecoh? Rasanya Kak Mira lebih kenal siapa yang suka buat 'kecoh'. " Maizura mengetap bibir menahan geram yang bila-bila masa sahaja akan terhambur di hadapan kakak Ruzain yang 'talam dua muka' ini. 


" Mai, akak tahu Zain mungkin ada salahnya. Tapi tolonglah, anggap je korang memang tak ada jodoh. Tak perlu kita nak panjang-panjang cerita lagi. " Azmira separuh merayu sambil memandang sekeliling nya. Bimbang ada yang terdengar perbualan mereka barangkali. 


Azmira menyambung lagi percakapannya, dan Maizura hanya membiarkan dan mendengar sambil tersenyum sinis memandang wanita itu..


" Mai, kita jadi orang perempuan ni, biarlah lelaki yang kejar kita, jangan kita yang kejar lelaki.


 "Mai jangan fikir duit boleh beli perasaan orang. "Disebabkan sikap Mai ini lah, bukan Zain je, akak dan keluarga pun dah tawar hati sebenarnya nak terima Mai dalam keluarga kami." Azmira berterus terang. Berharap sangat gadis ini pulang dan tidak mengganggu ketenteraman keluarganya.


Maizura ketawa perlahan sambil membalas, 

" Betul ke duit tak boleh beli perasaan Kak Mira? "Mungkin duit Mai yang tak seberapa ni dah tak mampu nak memenuhi keperluan Zain dan keluarganya kan? 


" Seronok kan tiap-tiap minggu Niza angkut keluarga Zain naik kereta mewah, jalan-jalan, makan tempat mahal? Dapat habuan baju branded? Seronok kan? Walaupun terpaksa diamkan diri tengok adik sendiri yang dah bertunang buat hubungan dengan perempuan lain? Tak fikir ke perasaan tunangan dia? Adil ke macam tu Kak Mira?"


" Oh tak kisahlah adil ke tak, lantak lah dengan perasaan orang lain kan, janji dapat tumpang kesenangan." Kan Kak Mira?" 


Wajah Azmira merah padam. Serasa ingin ditamparnya gadis di hadapannya ini. 


" Aku cakap dengan kau baik-baik, jangan sampai aku heret kau keluar dari kawasan rumah keluarga aku ni. Kau jangan nak mengungkit budi kau yang tak seberapa tu. " Dah kau tu tak cerdik, Ruzain berhak dapat perempuan yang lebih baik dari kau". Orang dah tak hingin kat kau la, susah sangat ke kau nak faham?! Jerkah Azmira. Berubah sudah nada suaranya. Dia sudah tidak peduli akan pandangan orang sekeliling yang mula memerhati ke arah mereka.


" Senangnya Kak Mira cakap ye, dah la keluarga Kak Mira tak datang jumpa keluarga Mai untuk putuskan pertunangan Mai dengan Zain secara baik, diam macam tu je dan letakkan semua kesalahan kat bahu Mai seorang, kenapa Kak Mira takut keluarga Mai akan tuntut ganti rugi? Hutang mak ayah Kak Mira yang Mai tolong selesaikan? Kereta yang atas nama Zain tapi Mai yang bayar tiap-tiap bulan? 


" Kak Mira tahu kan Mai ada bukti hubungan Zain dengan Niza, Mai tahu siapa sebenarnya Niza tu." 

" Kak Mira takut Mai akan bongkarkan kesemuanya kat sini?" 


" Mai juga berhak bersihkan nama Mai dan keluarga, semua cakap Mai ni terhegeh-hegeh kat Zain, kesian kat Zain, dapat tunang queen control, cemburu buta, Zain nak pergi family day dengan company pun Mai halang, Kak Mira tahu tak Zain pergi bercuti dengan Niza? Tak ada pun family day macam yang dia cakap tu? Oh ye Kak Mira pun tahu sebab tu Kak Mira sendiri pernah bagitau Zain yang Kak Mira lagi suka Zain dengan Niza sebab Mai ni tak matang, tak boleh bawa bincang... Selama ni 'duit' Mai jela yang boleh dibawa bincang kan? Mai ada bukti semuanya apa yang Kak Mira cakap dengan Zain pasal Mai." 


" Mai bukannya bodoh Kak Mira. Company tempat Zain kerja tu apalah sangat sampai ada family day kat tempat mewah, outstation apa semua, memang patut Mai sakit hati sebab Zain tipu Mai hidup-hidup selama ni "...


Maizura  menghamburkan rasa di depan Azmira, kakak Ruzain. Ye, Maizura tahu dia biadap, menunjuk perasaan di tempat yang dirinya tidak sepatutnya ada di situ. Maizura tidak peduli, tidak ada gunanya dia bercakap baik depan ahli keluarga Ruzain yang hanya menghormati seseorang bila orang itu memberi kesenangan buat mereka. 


Kelihatan sebuah kereta Toyota Innova berhenti di hadapan rumah. Keluar ibu bapa Ruzain dari kereta membimbit barang-barang, diikuti Ruzain dan Haniza. 


Maizura meninggalkan Azmira yang masih marah sambil ditenangkan suaminya yang baru muncul apabila terdengar kekecohan di luar tadi. Langkahnya hampir ke arah ibu bapa Ruzain lalu menyalami kedua orang tua itu yang juga terkejut dengan kehadirannya yang tidak diundang itu. 


Langkah seterusnya hampir kepada kedua pasangan yang masih berbual di tepi kereta, tanpa menyedari kehadirannya. 


"Assalamualaikum.. Zain... Niza..."


Berubah wajah kedua-duanya. Maizura hanya tersenyum pahit melihat lelaki yang pernah dicintainya, Ruzain yang memasamkan muka sebaik melihatnya. Haniza juga menundukkan wajahnya. Ye lah , di awal perkenalan lagi Haniza sudah tahu Ruzain tunangan orang. Tapi niat awalnya yang hanya mahu 'berkawan' jadi semakin jauh bila dia tak mampu menolak aura Ruzain yang pandai memikat hatinya. Pedulikan hati wanita lain yang tersakiti, asalkan kebahagiaan jadi miliknya. 


" Zain.. Mai datang bukan untuk buat kecoh. Zain boleh tanya sendiri orang-orang kat sini siapa yang buat 'kecoh' tadi.. Mai minta sekejap je masa Zain untuk kita selesaikan sekarang juga. Mai bukan nak datang ke majlis keluarga Zain malam ni apa lagi mengganggu. Mai tahu Mai tak diundang pun. Tapi Mai dah tak ada cara nak bersemuka dengan Zain. Zain tak datang ke rumah keluarga Mai dan Mai tak tahu Zain ada kat mana. Bila Mai dapat tahu keluarga Zain nak buat kenduri kesyukuran malam ni, sebab tu Mai datang sini sebab mesti Mai dapat jumpa Zain kat sini. "


"Mai nak kita bersemuka dan akui sendiri yang kita memang dah tak ada hubungan lagi.. Kita bertunang secara baik, berjumpa dua belah keluarga, tak kan la putus dengan hanya Zain block Mai di Whatsapp tanpa sepatah kata.. Mai minta maaf jika ada salah silap Mai selama ni dan Mai pun dah maafkan semua kesalahan Zain. " Mai juga dah halalkan segala budi Mai pada Zain dan keluarga Zain." Tutur Maizura dengan tenang. 


Ruzain hanya memandang lemah kepada Maizura dan mengangguk. 


Maizura memandang ke arah Haniza, 


" Niza..jaga Zain baik-baik. Mungkin awak lebih mampu bahagiakan dia. Dah bukan jodoh saya kan.. Saya doakan kebahagiaan awak dan dia."


Maizura menghabiskan ayatnya dan berpaling ke arah Adila yang setia menunggunya di bawah pokok. 


                🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷


Maizura tersenyum sendirian merenung ke arah dirinya yang sudah siap dalam persalinan berwarna kuning air dan wajahnya juga yang sudah siap disolek nipis. 


Alhamdulillah. Hari ini hari bahagianya. Dirinya bakal disatukan dengan lelaki yang dicintainya. In sya Allah. Biarlah kali ini sehingga akhir hayat.  Begitulah harapannya. Tak sangka perkenalannya dengan Syakir, yang dikenalinya melalui applikasi TikTok 5 bulan lalu membawa ke jinjang pelamin. 


" Dila, cuba kau jenguk-jenguk sikit, keluarga belah lelaki dah sampai ke? " Maizura bertanya kepada sahabat baik dan juga pengapitnya, Adila. 


" Amboi dah tak sabar ye kawan aku seorang ni. " Usik Adila. 


Maizura tersenyum mendengar usikan sahabat baiknya itu.


Adila lega sahabatnya itu sudah menemui cinta sejati yang diimpikannya. Walaupun kadangkala Maizura seorang yang tekad dalam membuat keputusan tanpa memikirkan baik buruknya, baginya hati Maizura terlalu lembut dan baik dan gadis itu berhak mendapat kebahagiaan yang diimpikannya. 


Adila tiba-tiba teringat dengan berita yang didengari nya minggu lepas dari  Syima, officemate yang juga sekampung dengan Ruzain, bekas tunang Maizura. Syima menceritakan perihal terkini mengenai Ruzain. Syima mengetahui hal Maizura dan Ruzain kerana ibunya ada di rumah keluarga Ruzain ketika Maizura tekad datang ke rumah itu dahulu. 


Menurut Syima, Ruzain sudah putus cinta dengan Haniza apabila wanita itu ingin berbalik semula dengan bekas suaminya. Ye, salah satu tujuannya merapati Ruzain adalah untuk membuatkan bekas suaminya cemburu. Lagipun, segala kemewahan yang dimiliki juga adalah hasil dari perniagaan milik bekas suaminya itu. Bukan itu je, Haniza juga turut menuntut ganti rugi wang ringgit nya yang telah dihabiskan kepada Ruzain dan keluarganya. Ruzain terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk membayar balik wang Haniza dan juga menampung keperluan dirinya sendiri dan keluarga


Adila mengeluh. Dia rasa tidak perlu dia menceritakan hal itu kepada Maizura ketika ini. Adila juga pasti Maizura tidak ingin lagi mengambil tahu tentang Ruzain dan keluarganya dan pasti tiada dendam di hati sahabatnya itu.


" Dila, jawab call tu. " Teguran Maizura mematikan lamunan Adila. Lantas dia menjawab panggilan. 


" Alright aunty, semuanya dah ready.." 


" Mai.. Syakir dan keluarganya dah sampai tu.. Tok Kadi pun dah sampai.. Jom turun.." Beritahu Adila dengan wajah ceria. 


Maizura tersenyum lebar dan berjalan dengan sopan mengikuti Adila. Dalam hati dia mengucapkan syukur di atas nikmat dan hikmah dari Allah yang tidak terhingga buat dirinya dari dulu sehingga kini. Alhamdulillah....




                                 *TAMAT*



* Kisah di dalam cerpen ini adalah rekaan pengarang semata-mata. Semua watak dan jalan cerita di dalam cerpen ini tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. 










2 comments:

  1. Sedih behtul cite ni.. Niceeee! Kipidappp . hihi . i baca sampai habis woooo

    ReplyDelete
  2. rabia singgah ke sini
    terbaiikk lahh

    ReplyDelete

All the information on this website is published in good faith and for general information purpose only. [https://faizzahamir.blogspot.com/] does not make any warranties about the completeness, reliability and accuracy of this information.

Thank You.